Monday, 16 November 2015

Kesan Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia Terhadap Masyarakat dan Negara

                  PEMERENGGANAN

Kesan Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia Terhadap Masyarakat dan Negara

     Pekerja asing didefinisikan sebagai tenaga kerja dari luar negara atau dikenali juga sebagai buruh asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Kebiasaannya pekerja asing datang ke negara ini adalah untuk memenuhi ruang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan. Selain itu, mereka datang bekerja di sini adalah untuk mencari pendapat yang lebih lumayan berbanding di negara asal mereka. Antara sektor yang menjadi tumpuan pekerja asing ialah sektor pembinaan, perkhidmatan dan perindustrian. Ibarat kata pepatah, di mana ada semut, di situ ada gula. Namun, kedatangan mereka ke sini turut memberi kesan positif dan juga negatif kepada masyarakat dan juga negara.

  
     Antara kesan positif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah mempercepatkan proses pembangunan negara. Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Justeru pelbagai langkah diambil dalam memantapkan pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai perubahan dilakukan secara menyeluruh khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan prasarana yang sitematik. Sebagai contoh, lebuhraya Pan Borneo yang dibina memerlukan tenaga kerja asing bagi mempercepatkan proses pembinaan lebuhraya tersebut. Dengan adanya pekerja asing ini, proses pembangunan negara dapat berlangsung dengan cepat.

     Seterusnya, kesan positif yang kedua ialah berlaku pertukaran teknologi. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan teknologi yang canggih dan moden untuk menjadikan negara ini setanding dengan negara membangun yang lain. Kedatangan pekerja asing contohnya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan pekerja tempatan mempelajari dan memperoleh teknologi baru melalui program yang diadakan secara usahasama oleh pihak kerajaan atau pihak tertentu. Sebagai contoh, pertukaran idea dan maklumat antara para saintis tentang vaksin. Oleh hal yang demikian, pertukaran teknologi ini dapat menjana keemajuan negara.

     Kesan negatif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah meningkatkan kadar jenayah. Hal ini demikian kerana, tidak semua daripada mereka mendapat upah yang mencukupi. Kesempitan hidup di negara orang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Kegiatan jenayah seperti merompak, meragut dan mencuri tidak dapat dinafikan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun kegiatan jenayah ini tidak semestinya berkaitan dengan pendatang asing tetapi disebabkan sejarah lampau mengenai kes-kes jenayah yang melibatkan mereka mengakibatkan masyarakat menuding jari ke arah mereka. Kegiatan jenayah yang semakin serius ini mendatangkan kerisauan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda. Akhir kata, antara salah satu kesan negatif kedatangan pekerja asing ialah mendatangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

     Kesimpulannya, kedatangan pekerja asing memberikan kesan positif dan negatif kepada masyarakat dan negara. Kedatangan mereka ini tidak boleh disekat lagi disebabkan atas faktor-faktor yang tertentu. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang agar keselamatan masyarakat dan keamanan negara kita terjamin daripada sebarang jenayah disebabkan oleh pekerja asing.








No comments:

Post a Comment