Sunday, 22 November 2015

CERPEN

TAJUK : MIMPI KITA BERSAMA

     “Aduh mana pulak aku letak nota-nota DeComm ni??” keluh Irman sendirian. Petang nanti dia ada ujian subjek Design Communication yang mana dia sangat lemah dan Irman sangat memerlukan nota-nota tersebut untuk membantu dia mengulang kaji semula apa yang telah dipelajari selama ini. Sedang tangannya menyelongkar segenap isi rak buku itu dia terpandang sebuah kotak. Kotak itu merupakan kotak hadiah yang sedikit sebanyak menyimpan memori lamanya. Kotak tersebut sudah berhabuk. Memori yang ingin dia lupakan namun tetap tersimpan di penjuru hatinya. Memori yang akan mengundang rasa sedih dalam hatinya. Memori yang sentiasa akan mengingatkan alam persekolahannya.  Silap hari bulan dia akan menangis terkenang setiap detik yang terakam dalam saat-saat tersebut. Sangat indah dan sedih rasanya.

     Irham masih ingat setiap patah perkataan yang terukir dalam surat-surat tersebut. Perkataan yang menggambarkan perasaan gembiranya ketika bersama insan yang diharap akan menjadi peneman hidup ketika senang dan susah sehingga saat mengembuskan nafas terakhit. Namun impian itu tidak kesampaian. Satu kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Kejadian yang mengubah perwatakan dirinya dari menjadi seorang Irham yang ceria dan sentiasa bersemangat tinggi kepada Irham yang serius dan tegas. Dia menjadi orang yang tidak suka akan perkara-perkara lucu atau lawak yang dulu memberikan keseronokan namun kini baginya benda-benda sebegitu tidak bermanfaat langsung.

     Irham membelek surat-surat yang ada ditangannya itu. Fikirannya menerawang kembali ke saat lepas dimana dia pada waktu itu sedang menuntut di sebuah kolej persediaan di Kota Bharu, Kelantan. Irham yang berasal dari Utara Semenanjung iaitu Kedah itu tidak pernah tinggal di asrama kerana dia hanyalah pelajar sekolah harian biasa. Namun itu tidak menjadi masalah baginya kerana sifatnya yang mudah mesra dengan semua orang menjadikan dia seorang yang agak dikenali di kolejnya.

     Suatu hari, ada seorang pelajar baru yang masuk ke kolejnya. Menurut cerita temannya, budak perempuan itu datang dari “International School”, iaitu bermaksud gadis tersebut muda setahun daripada Irham walaupun mereka menuntut di tahun yang sama. Tahun satu semester dua. Dia masih belum berpeluang untuk berkenalan dengan budak perempuan itu, namun khabar angin yang didengarinya daripada rakan, budak itu sombong orangnya. Itu yang menjadikan Irham lebih berminat dan tidak sabar untuk mengenali budak perempuan ini. ‘Hah, inilah peluang untuk aku menunjukkan siapa “abang long” kat kolej’, tekad hati kecilnya.
                
     Oleh itu, dalam masa seminggu itu, dia mula memerhatikan setiap pergerakan dan aktiviti yang dibuat oleh budak perempuan tersebut. Dalam masa itulah, Irham mengetahui nama sebenar budak itu. Selama ini dia hanya memanggil budak perempuan itu sebagai budak kecik memandangkan semua orang di kolej itu lebih selesa memanggil dia Abang Long. Ini mungkin kerana sikap kepimpinan yang jelas terpancar dan terserlah dalam setiap perlakuannya.

    “Aliya, jomlah kita duduk di meja hujung sana. Boleh jauh sikit daripada orang lain. Ada aircond kat situ la. Sejuk sikit, barulah dapat belajar dengan betul-betul. Dahlah waktu petang camni memang malas sikit nak mengulang kaji. Hehehe, sorry Aliya banyak pulak saya cakap, non stop. Mesti awak menyampahkan? tanya Erma. Erma itulah satu-satunya pelajar sering dilihat bersama Aliya. Ramai rakan-rakan sekelas mereka yang kurang senang dengan sikap Aliya yang hanya menjawab sepatah apabila ditanya. Mungkin sebab itu mereka susah untuk berkawan dengannya. Hanya Erma yang sudi melayan Aliya.
             
     Irham yang melihat sasarannya berada di depan mata mula merancang bagaimana caranya dia hendak bertegur sapa dengan budak kecik ni. Dia telah membazirkan waktunya selama seminggu mengintip si Aliya ini, jadi dia kena mengambil langkah seterusnya dengan berkenalan dengan minah sombong ni. Itulah misinya. Bertegur sapa dan mungkin kalau rezeki berpihak kepadanya, dia akan menjadi kawan kepada budak perempuan. Ini kerana baginya dia tidak suka rakan-rakan sesama batch itu tidak rapat antara satu sama lain. Justeru, bagi membolehkan rakan-rakan yang lain lebih selesa berkawan dengan si Aliya ini, dia yang harus mengambil langkah pertama dengan membuktikan kepada kawan-kawannya yang lain bahawa budak ini sebenarnya boleh diajak berkawan kalau kena dengan gaya dan tempatnya.

     ‘Bismillah’, bisik hati. Langkah kaki diatur kemas ke arah meja yang diduduki oleh Aliya dan Erma. Nasibnya baik kerana Erma itu merupakan sahabat satu sekolahnya. Kerjanya menjadi lebih senang.

     “Hai Erm, aku nak duduk kat meja sini boleh tak?” tegur Irham. “Kau tengah study subjek apa tu?”

     “Oh hai Ir, duduklah. Macamlah kau tak biasa pulak dengan aku. Ni hah, aku tengah study subjek environmental. Aku belajar subjek ni sebab ada si Aliya ni. Dia terror tau subjek ni. Ni yang aku mintak tolong dia. Eh, lupa pulak nak kenalkan kau kat dia. Ni Aliya, classmate aku, baru je masuk sini awal sem haritu. Dia baru balik dari Dubai, buat IB jugak kat sana. So, bila dia balik Malaysia terus dia sambung je study dia kat sini. Eh panjang pulak aku cerita pasal dia. Sorry Aliya,” kata Erma sambil tersengih memandang muka kawannya disebelah. Aliya hanya tersenyum.  

     “Hai Aliya, nice to meet you,” kata Irham. “Sorryla dia dah ambil part you nak introduce yourself. Dia ni memang banyak cakap, bila dah bercakap tu susah nak berhenti pulak. Mesti you penatkan nak kena dengar dia membebel setiap hari?” Tanya Irham. Dia cuba bersikap mesra dengan Aliya, namun Aliya hanya tersenyum. Tidak memberi apa-apa respon kepada pertanyaannya tadi. Melihatkan respon Aliya, Irham hanya membiarkan saja. ‘Mungkin dia masih segan,’ Irham berkata dalam hati. Perjumpaan mereka pada petang itu berakhir begitu sahaja. Selepas dia selesai melakukan kerja rumahnya, terus dia meminta diri. Aliya hanya mengangguk menghantar pemergianya. 
                ***
     Satu hari, ketika di pusat membeli-belah KB Mall, Irham terserempak Aliya bersama keluargannya. Perjumpaan yang sekejap itu membolehkan Irham mengenali diri Aliya dengan lebih rapat dan mengetahui serba sedikit mengenai keluarganya. Sejak daripada perjumpaan yang tidak diduga itu, hubungan Irham dan Aliya menjadi semakin rapat. Di kolej, mereka sering kali dapat dilihat bersama-sama terutamanya di perpustakaan. Aliya dan Irham adalah merupakan antara pelajar harapan kolej yang diharap mampu mendapatkan perfect score untuk peperiksaan IB nanti. Sekarang mereka di akhir semester 3 dan peperiksaan akhir semester juga hampir tiba tidak lama lagi. Peperiksaan inilah yang akan menentukan tahap prestasi semua pelajar sama ada mereka sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan untuk program Diploma International Baccalaureate ini ataupun tidak. Ini kerana program IB ini memang diakui antara program pre-universiti yang paling sukar di dunia.

     Namun sesuatu yang tidak diduga telah terjadi. Seminggu sebelum peperiksaan akhir semester 3 bermula, kesihatan Aliya telah terjejas. Pada mulanya dia hanya mengalami demam selesema yang biasa. Tetapi keadaan Aliya makin bertambah teruk kerana dia dijangkiti demam panas pula selepas itu. Akibatnya, Aliya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran dan terpaksa ponteng kelas. Dia juga tidak dapat membuat ulang kaji dengan jaya kerana asyik berasa pening dan letih. Tiba minggu peperiksaan, Aliya semakin pulih tetapi kadang-kadang sakit kepala itu datang juga menyerang. Irham sangat risaukan keadaan Aliya itu. Dia menasihati Aliya supaya meminta kebenaran daripada guru kelasnya untuk menangguh waktu peperiksaan namun Aliya tetap berkeras ingin menduduki peperiksaan bersama dengan rakan-rakannnya yang lain. Setelah peperiksaan tamat, maka semua pelajar pun dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing untuk memulakan cuti akhir semester.
               
      Sebelum Irham kembali ke rumahnya di Kedah, dia telah meminta Aliya untuk berjumpa sekejap dengannya. Dikirimnya sepucuk surat buat Aliya. Kata-kata yang diucapkan oleh Irham dalam surat tersebut merupakan kata-kata semangat kerana Irham tidak mahu Aliya terlalu memikirkan tentang peperiksaan yang dilaluinya serta bimbang tentang keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan pada bulan Desember nanti. Irham berjanji dengan Aliya bahawa ketika cuti nanti dia akan berkongsi dengannya tentang apa yang dipelajari. Mungkin dengan cara mereka bertukar-tukar nota dapat membantu mereka belajar dengan lebih baik tentang sesuatu subjek itu.
                                ***
     Keputusan semester telah diumumkan. Irham mendapat keputusan yang baik, seperti yang telah dijangka. Irham sangat gembira, namun dia terfikir juga tentang Aliya. Tetapi sejak cuti bermula, Irham tidak mendengar sebarang khabar daripada Aliya. Surat yang dihantar oleh Irham kepada Aliya juga tidak dibalas. Erma juga tidak mengetahui apa-apa apabila ditanya. Akhirnya, Irham mampu menunggu dan terus menunggu sehingga cuti berakhir.

     Setelah musim cuti berakhir, semangat Irham untuk terus berjaya semakin membuak-buak. Tambahan pula inilah masa yang sangat penting baginya. Semester 4 adalah semester terakhir dan pada akhir semester inilah dia akan menghadapi ujian yang paling besar dalam hidupnya. Ujian yang bakal menentukan sama ada dia layak atau tidak untuk menyambung pengajian di peringat ijazah di luar negara. Nasib dan rezekinya ditentukan pada usahanya selama ini.
                
     Permulaan semester 4 Irham sangat sibuk dengan segala kelas tambahan dan sesi ulangkaji bersama kumpulan belajar yang telah ditentukan oleh para guru. Justeru, Irham tidak dapat meluangkan masanya dengan Aliya. Aliya juga dilihat sibuk dengan urusannya. Tetapi dia tetap berusaha untuk bertegur sapa dan mengulang kaji pelajaran bersama. Namun, sejak belakangan ini Irham jarang sekali terserempak dengan Aliya sama ada di blok akademik atau di perpustakaan tempat di mana mereka selalu mengulang kaji. Aliya seolah-olah hilang terus. Kata Erma, Aliya sakit dan dia tidak dapat hadir ke kelas. Walaupun telah mendapatkan rawatan di hospital, tetapi keadaan kesihatan Aliya hanya baik buat seketika. Keadaan itu membuatkan Irham semakin risau. Peperiksaan IB semakin hampir dan dia mengharapkan Aliya akan sihat serta dapat belajar dengan baik.
                
     Irham teringat akan perbulannya dengan Aliya ketika mereka sama-sama menyertai acara sukan tahunan yang diadakan oleh kolej mereka. Ketika sedang menunggu keputusan acara diumumkan, Aliya dan Irham duduk berbual-bual. Mereka berbincang tentang topik pelajaran dan juga cita-cita masing-masing. Aliya berharap dia akan berjaya untuk peperiksaan IB ini dan dapat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Ireland nanti. Manakala Irham pula ingin menyambung pengajiannya di University of Leeds di United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia. Mereka berjanji untuk terus sama-sama berusaha bagi memastikan cita-cita mereka tercapai dan berjaya membanggakan kedua ibu bapa mereka. Namun dengan situasi yang dihadapi oleh Aliya kini, Irham merasa sangat susah hati kerana dia tidak dapat membantu Aliya sepenuhnya.
     
     Kini, masa yang ditunggu telah tiba. Irham telah mempersiapkan  dirinya dan dia yakin akan dapat membuat yang terbaik bagi peperiksaan ini. Begitu juga dengan rakan seperjuangan yang lain. Dia juga sering memberikan kata motivasi kepada rakan-rakannya agar mereka sentiasa yakin dan percaya kepada keupayaan diri masing-masing serta percaya kepada rezeki tuhan. Irham juga sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Aliya. Walaupun akhir-akhir ini, Irham jarang berkesempatan untuk berborak dengan Aliya.
                
     Setelah tamat pengajian mereka di kolej, maka cuti pun bermula. Irham ingin mengatakan sesuatu kepada Aliya sebelum mereka berpisah. Tetapi kelibat Aliya langsung tidak kelihatan pada hari terakhir persekolahan. Irham hampa kerana Aliya pergi tanpa memberitahu apa-apa kepadanya Sebulan Irham berada dalam keadaan berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaannya. Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu tiba jua. Irham berjaya dengan jayanya. Dia juga dinobatkan sebagai pelajar terbaik kolejnya. Irham cuba merisik khabar mengenai Aliya namun Erma kawan baik Aliya juga tidak mendengar sebarang khabar daripadanya.
                
     Sehinggalah Irham mendapat khabar daripada kawannya bahawa sesuatu telah berlaku kepada Aliya. Aliya sedang sakit tenat dan sekarang dia berada di hospital. Aliya telah disyaki menghidapi kanser otak dan jangka hayatnya hanya tinggal sebulan lagi. Irham yang mendengarkan khabar itu berasa amat terkejut. Terus dia berkejar ke hospital  untuk berjumpa dengan Aliya. Irham banyak menghabiskan masanya menemani Aliya di hospital. Irham ingin membuat Aliya gembira di saat-saat akhirnya. Walaupun sedih dengan penyakit yang dideritai oleh Aliya, namun Irham redha kerana dia tahu Aliya seorang yang kuat dan dia yakin setiap ujian ada hikmatnya.
            
     Suatu hari, hati Irham berasa berat. Jantungnya tiba-tiba berdegup dengan kencang. Irham teringat akan Aliya. Terus dia menelefon ibunya Aliya, Puan Aishah. Namun telefonnya tidak aktif. Irham semakin tidak keruan sehinggalah dia menerima panggilan telefon daripada Erma yang mengkhabarkan bahawa Aliya sudah tiada. Erma hanya mampu menangis sambil memberitahu perkara itu kepada Irham. Irham pula terkedu dan tidak mampu berkata apa-apa. Dunianya dirasakan gelap dan kosong. Baginya hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Air mata pun tidak dapat keluar walaupun dia begitu sedih. Baginya, inilah saat paling sedih dalam kehidupannya selepas dia kehilangan atuk sebelum ini.    
            
    ***

     Irham hanya tersedar daripada lamunannya apabila terasa ada titisan hangat mengenai tangannya. Rupanya dia telah jauh mengelamun. Mengelamun memikirkan tentang masa silam yang sangat memberi kesan dalam kehidupannya. Akhirnya setelah menenangkan diri, Irham bangkit untuk kembali meneruskan rutin hariannya sebagai seorang pelajar. Tanggungjawabnya harus dilaksanakan dengan baik. Dia sudah berjanji dengan Aliya untuk terus berusaha bagi memastikan cita-cita yang ditanam sejak kecil telah tercapai. Irham berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia akan menjadi pelajar dan anak yang bertangungjawab dan akhirnya menjadi insan yang berjaya dewasa kelak


No comments:

Post a Comment