Sunday, 29 November 2015

PENCERITAAN : KISAH HAIWAN

PERSAHABATAN DAN PENGKHIANATAN







Di dalam sebuah hutan rimba, tinggal sekumpulan haiwan yang pelbagai. Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada Sang Harimau yang merupakan penghulu di rimba tersebut dan anak-anak buahnya yang lain seperti Sang Arnab, Sang Zirafah, Sang Musang dan Sang Beruang. Sang Arnab, Sang Zirafah dan Sang Beruang merupakan sahabat baik sejak kecil lagi. Apabila mereka meningkat dewasa, Sang Arnab menjadi haiwan yang sungguh jelita di rimba itu berbanding yang lain. Kecantikan Sang Arnab telah menimbulkan rasa kurang senang dalam hati si Sang Zirafah dan Sang Beruang. Pada suatu hari, Sang Arnab bersiar-siar di taman bunga, tanpa disedari oleh Sang Arnab, si Sang Zirafah dan Sang Beruang mengekorinya. Dalam pada masa yang sama Sang Zirafah telah merancang satu rancangan jahat bersama dengan Sang Beruang untuk membunuh Sang Arnab. 

"Indahnya hari ini. Udara yang nyaman. Alangkah indah jikalau dapat bersiar begini selalu," kata Sang Arnab bersendirian.

Di sebalik semak-samun di taman bunga itu, kelihatan Sang Beruang dan Sang Zirafah sedang memerhatikan Sang Arnab.

"Lihatlah si Sang Arnab itu. Bangga benar dia punya wajah yang cantik dan digilai haiwan di rimba ini," tutur Sang Zirafah.

"Iyalah, Sang Arnab punya wajah yang menawan. Tidak seperti kamu wahai Sang Zirafah, leher pun jinjang sampai aku sendiri tidak tahu di mana letaknya tekak kamu," balas si Sang Beruang disusuli dengan tawa kecilnya.

"Amboi, sedap kamu berkata-kata tentang aku ya. Aku tidak peduli. Aku mesti musnahkan si Sang Arnab itu," jerit Sang Zirafah.

Jeritan Sang Zirafah itu telah mengejutkan Sang Arnab. Lalu Sang Arnab pun mencari arah punca suara tersebut dan akhirnya dia menjumpai Sang Zirafah dan Sang Beruang di sebalik semak.

"Sang Zirafah rupanya. Apa kamu buat di sini wahai sahabatku?" soal Sang Arnab.

"Aku tidak lakukan apa-apa. Kami hanya ingin mengambil angin sahaja, tidak begitu wahai Sang Beruang?" balas si Sang Zirafah.

Lalu, dengan terkebil-kebilnya Sang Beruang menjawab, "Ya, kami hanya bersiar-siar di sini untuk mengambil angin."

"Aku berasa lapar. Mari kita makan bersama-sama," ajak si Sang Arnab.

"Tidak mengapa, kamu pergilah dahulu, kami akan menyusul kemudian," balas si Sang Zirafah.

Sang Arnab pun berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

"Sang Beruang, ini merupakan peluang terbaik untuk kita musnahkan Sang Arnab. Aku akan letakkan racun dalam makanannya. Kau harus mengawal keadaan," ujar si Sang Zirafah dengan angkuhnya.

"Baiklah Sang Zirafah. Aku akan ikut segala perancangan yang telah kita rancang sebelum ini," balas Sang Beruang.

Tanpa mereka sedari, perbualan mereka itu telah didengari oleh Sang Musang di sebalik semak-samun itu. Sang Musang amat terkejut dengan perancangan mereka. Sang Musang mengambil keputusan untuk melaporkan berita tersebut kepada Sang Harimau iaitu ketua di rimba tersebut.

"Aku harus melaporkan mengenai perkara ini kepada Tok Penghulu sebelum perkara menjadi lebih teruk," kata si Sang Musang.

Lalu Sang Musang pun berlalu pergi ke arah rumah Sang Harimau ketuanya.

Sementara di rumah Sang Harimau,

"Tok Rimau, saya tidak bercakap bohong. Saya dengar dengan jelas tentang perancangan mereka untuk meletakkan racun ke dalam makanan Sang Arnab," tuturnya kepada Sang Harimau.

"Benarkah semua ini? Katakan kepada ku ini semua hanya dusta belaka," balas Sang Harimau

"Benar Tok, saya tidak akan menipu mengenai perkara serius seperti ini. Ini melibatkan nyawa," balas Sang Musang.

"Baiklah, jika begitu mari kita pergi halang perbuatan mereka berdua," arah Sang Harimau.

Ketika Sang Arnab asyik leka bermain di taman, Sang Zirafah dan Sang Beruang telah memasukkan racun ke dalam makanan Sang Arnab tanpa pengetahuannya.

Tiba-tiba..

"Zirafah! Beruang! Apa yang sedang kamu lakukan itu??" pekik Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang yang terkejut diam tidak berkata apa-apa. Riak wajah mereka kelihatan pucat. Sang Arnab menuju ke arah mereka dan bertanyakan kepada Sang Harimau mengenai apa yang sedang berlaku.

"Wahai Sang Arnab, mereka berdua ini sedang cuba untuk membunuh kamu. Mereka telah meletakkan racun ke dalam makanan kamu supaya kamu mati selepas ini," jelas Sang Harimau.

Sang Arnab yang begitu terkejut dengan perbuatan rakan karibnya terus mengalirkan air matanya.

"Aku tidak sangka kau sanggup mengkhianati aku wahai Sang Zirafah, Sang Beruang. Kita berkawan sejak dari kecil lagi. Mengapa kamu sanggup ingin membunuhku?" tutur Sang Arnab.

Sang Zirafah dan Sang Beruang hanya membatukan diri mereka. Kelihatan riak menyesal pada muka mereka.

"Wahai Sang Zirafah, Sang Beruang, tidak baik kamu bermusuhan sesama kamu. Berbaiklah kamu semula. Sayangilah persahabatan ini. Setiap ciptaan ada kelebihan masing-masing. Tidak perlulah kamu berasa dengki terhadap satu sama lain," jelas Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang amat menyesal dengan perbuatan mereka. Lalu mereka pun meminta maaf kepada Sang Arnab.

"Wahai Sang Arnab, maafkan kami. Kami bersalah dalam hal ini. Kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi," mohon si Sang Zirafah.

"Tidak mengapalah Sang Zirafah. Aku telah memaafkan kamu," balas Sang Arnab.

Lalu mereka berpelukan antara satu sama lain.




Tuesday, 24 November 2015

IKLAN PEMUJUKAN






KEMPEN ALAM SEKITAR

     Pihak kerajaan dan kerjasama NGO melaksanakan kempen kitar semula di kalangan masyarakat sejak beberapa tahun yang lalu. Walau bagaimanapun,  program kitar semula ini masih belum mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat. Namun usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan kitar semula perlu dipergiatkan lagi. Terdapat beberapa kebaikan program kitar semula diperkenalkan kepada masyarakat.

     Antara kebaikan program kitar semula ialah kita dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Melalui program kitar semula, bahan-bahan buangan seperti kertas, kaca dan plastik akan dikumpulkan dan dihantar ke kilang kitar semula. Oleh itu, alam sekitar akan menjadi bersih kerana bahan buangan tidak dibuang sesuka hati ke dalam sungai, laut atau semak. Sesungguhnya, alam sekitar yang bersih akan menghindarkan kita daripada penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lipas dan tikus.

     Selain itu, program kitar semula dapat menambahkan pendapatan kita. Bahan-bahan buangan seperti plastik, kertas dan besi ada harganya di pasaran. Kita akan memperolehi wang apabila menjual barang-barang ini kepada pihak kilang kitar semula. Wang yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk membeli barang-barang keperluan harian kita.


     Dengan melakukan aktiviti kitar semula, kita juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah berjimat cermat, bertanggungjawab dan mencintai alam sekitar. Melalui amalan berjimat cermat, kita akan menggunakan bekas plastik sehingga rosak dan tidak membazir. Melalui amalan bertanggungjawab pula, kita akan mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula dan tidak akan membuangnya ke dalam semak atau ke dalam sungai.


     Di samping itu, kita dapat menjimatkan sumber alam yang semakin berkurangan. Dengan aktiviti kitar semula kertas-kertas lama, kita dapat mengelakkan penebangan pokok bagi menghasilkan kertas. Kitar semula besi buruk pula dapat mengelakkan logam besi cepat habis. Bagi bahan plastik pula, kita bukan sahaja dapat menjimatkan sumber untuk membuat bahan plastik tetapi kita juga dapat mengelakkan kesan buruk daripada bahan kimia yang dihasilkannya.


     Aktiviti kitar semula juga dapat membuka satu lagi peluang pekerjaan kepada rakyat di kilang kitar semula. Secara tidak langsung aktiviti ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat. Sesungguhnya, rakyat yang mempunyai pekerjaan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Rakyat yang mempunyai pekerjaan juga akan terhindar daripada melakukan masalah sosial seperti mencuri dan merompak.



     Aktiviti kitar semula mendatangkan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjayakan aktiviti kitar semula. Kempen  kitar semula mesti diteruskan oleh pihak kerajaan agar dapat memberikan kesedaran yang berpanjangan kepada masyarakat. Pihak sekolah pula wajar menjadikan aktiviti kitar semula sebagal program tahunan sekolah untuk memupuk amalan kitar semula dalam kalangan pelajar.





















Sunday, 22 November 2015

CERPEN

TAJUK : MIMPI KITA BERSAMA

     “Aduh mana pulak aku letak nota-nota DeComm ni??” keluh Irman sendirian. Petang nanti dia ada ujian subjek Design Communication yang mana dia sangat lemah dan Irman sangat memerlukan nota-nota tersebut untuk membantu dia mengulang kaji semula apa yang telah dipelajari selama ini. Sedang tangannya menyelongkar segenap isi rak buku itu dia terpandang sebuah kotak. Kotak itu merupakan kotak hadiah yang sedikit sebanyak menyimpan memori lamanya. Kotak tersebut sudah berhabuk. Memori yang ingin dia lupakan namun tetap tersimpan di penjuru hatinya. Memori yang akan mengundang rasa sedih dalam hatinya. Memori yang sentiasa akan mengingatkan alam persekolahannya.  Silap hari bulan dia akan menangis terkenang setiap detik yang terakam dalam saat-saat tersebut. Sangat indah dan sedih rasanya.

     Irham masih ingat setiap patah perkataan yang terukir dalam surat-surat tersebut. Perkataan yang menggambarkan perasaan gembiranya ketika bersama insan yang diharap akan menjadi peneman hidup ketika senang dan susah sehingga saat mengembuskan nafas terakhit. Namun impian itu tidak kesampaian. Satu kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Kejadian yang mengubah perwatakan dirinya dari menjadi seorang Irham yang ceria dan sentiasa bersemangat tinggi kepada Irham yang serius dan tegas. Dia menjadi orang yang tidak suka akan perkara-perkara lucu atau lawak yang dulu memberikan keseronokan namun kini baginya benda-benda sebegitu tidak bermanfaat langsung.

     Irham membelek surat-surat yang ada ditangannya itu. Fikirannya menerawang kembali ke saat lepas dimana dia pada waktu itu sedang menuntut di sebuah kolej persediaan di Kota Bharu, Kelantan. Irham yang berasal dari Utara Semenanjung iaitu Kedah itu tidak pernah tinggal di asrama kerana dia hanyalah pelajar sekolah harian biasa. Namun itu tidak menjadi masalah baginya kerana sifatnya yang mudah mesra dengan semua orang menjadikan dia seorang yang agak dikenali di kolejnya.

     Suatu hari, ada seorang pelajar baru yang masuk ke kolejnya. Menurut cerita temannya, budak perempuan itu datang dari “International School”, iaitu bermaksud gadis tersebut muda setahun daripada Irham walaupun mereka menuntut di tahun yang sama. Tahun satu semester dua. Dia masih belum berpeluang untuk berkenalan dengan budak perempuan itu, namun khabar angin yang didengarinya daripada rakan, budak itu sombong orangnya. Itu yang menjadikan Irham lebih berminat dan tidak sabar untuk mengenali budak perempuan ini. ‘Hah, inilah peluang untuk aku menunjukkan siapa “abang long” kat kolej’, tekad hati kecilnya.
                
     Oleh itu, dalam masa seminggu itu, dia mula memerhatikan setiap pergerakan dan aktiviti yang dibuat oleh budak perempuan tersebut. Dalam masa itulah, Irham mengetahui nama sebenar budak itu. Selama ini dia hanya memanggil budak perempuan itu sebagai budak kecik memandangkan semua orang di kolej itu lebih selesa memanggil dia Abang Long. Ini mungkin kerana sikap kepimpinan yang jelas terpancar dan terserlah dalam setiap perlakuannya.

    “Aliya, jomlah kita duduk di meja hujung sana. Boleh jauh sikit daripada orang lain. Ada aircond kat situ la. Sejuk sikit, barulah dapat belajar dengan betul-betul. Dahlah waktu petang camni memang malas sikit nak mengulang kaji. Hehehe, sorry Aliya banyak pulak saya cakap, non stop. Mesti awak menyampahkan? tanya Erma. Erma itulah satu-satunya pelajar sering dilihat bersama Aliya. Ramai rakan-rakan sekelas mereka yang kurang senang dengan sikap Aliya yang hanya menjawab sepatah apabila ditanya. Mungkin sebab itu mereka susah untuk berkawan dengannya. Hanya Erma yang sudi melayan Aliya.
             
     Irham yang melihat sasarannya berada di depan mata mula merancang bagaimana caranya dia hendak bertegur sapa dengan budak kecik ni. Dia telah membazirkan waktunya selama seminggu mengintip si Aliya ini, jadi dia kena mengambil langkah seterusnya dengan berkenalan dengan minah sombong ni. Itulah misinya. Bertegur sapa dan mungkin kalau rezeki berpihak kepadanya, dia akan menjadi kawan kepada budak perempuan. Ini kerana baginya dia tidak suka rakan-rakan sesama batch itu tidak rapat antara satu sama lain. Justeru, bagi membolehkan rakan-rakan yang lain lebih selesa berkawan dengan si Aliya ini, dia yang harus mengambil langkah pertama dengan membuktikan kepada kawan-kawannya yang lain bahawa budak ini sebenarnya boleh diajak berkawan kalau kena dengan gaya dan tempatnya.

     ‘Bismillah’, bisik hati. Langkah kaki diatur kemas ke arah meja yang diduduki oleh Aliya dan Erma. Nasibnya baik kerana Erma itu merupakan sahabat satu sekolahnya. Kerjanya menjadi lebih senang.

     “Hai Erm, aku nak duduk kat meja sini boleh tak?” tegur Irham. “Kau tengah study subjek apa tu?”

     “Oh hai Ir, duduklah. Macamlah kau tak biasa pulak dengan aku. Ni hah, aku tengah study subjek environmental. Aku belajar subjek ni sebab ada si Aliya ni. Dia terror tau subjek ni. Ni yang aku mintak tolong dia. Eh, lupa pulak nak kenalkan kau kat dia. Ni Aliya, classmate aku, baru je masuk sini awal sem haritu. Dia baru balik dari Dubai, buat IB jugak kat sana. So, bila dia balik Malaysia terus dia sambung je study dia kat sini. Eh panjang pulak aku cerita pasal dia. Sorry Aliya,” kata Erma sambil tersengih memandang muka kawannya disebelah. Aliya hanya tersenyum.  

     “Hai Aliya, nice to meet you,” kata Irham. “Sorryla dia dah ambil part you nak introduce yourself. Dia ni memang banyak cakap, bila dah bercakap tu susah nak berhenti pulak. Mesti you penatkan nak kena dengar dia membebel setiap hari?” Tanya Irham. Dia cuba bersikap mesra dengan Aliya, namun Aliya hanya tersenyum. Tidak memberi apa-apa respon kepada pertanyaannya tadi. Melihatkan respon Aliya, Irham hanya membiarkan saja. ‘Mungkin dia masih segan,’ Irham berkata dalam hati. Perjumpaan mereka pada petang itu berakhir begitu sahaja. Selepas dia selesai melakukan kerja rumahnya, terus dia meminta diri. Aliya hanya mengangguk menghantar pemergianya. 
                ***
     Satu hari, ketika di pusat membeli-belah KB Mall, Irham terserempak Aliya bersama keluargannya. Perjumpaan yang sekejap itu membolehkan Irham mengenali diri Aliya dengan lebih rapat dan mengetahui serba sedikit mengenai keluarganya. Sejak daripada perjumpaan yang tidak diduga itu, hubungan Irham dan Aliya menjadi semakin rapat. Di kolej, mereka sering kali dapat dilihat bersama-sama terutamanya di perpustakaan. Aliya dan Irham adalah merupakan antara pelajar harapan kolej yang diharap mampu mendapatkan perfect score untuk peperiksaan IB nanti. Sekarang mereka di akhir semester 3 dan peperiksaan akhir semester juga hampir tiba tidak lama lagi. Peperiksaan inilah yang akan menentukan tahap prestasi semua pelajar sama ada mereka sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan untuk program Diploma International Baccalaureate ini ataupun tidak. Ini kerana program IB ini memang diakui antara program pre-universiti yang paling sukar di dunia.

     Namun sesuatu yang tidak diduga telah terjadi. Seminggu sebelum peperiksaan akhir semester 3 bermula, kesihatan Aliya telah terjejas. Pada mulanya dia hanya mengalami demam selesema yang biasa. Tetapi keadaan Aliya makin bertambah teruk kerana dia dijangkiti demam panas pula selepas itu. Akibatnya, Aliya tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran dan terpaksa ponteng kelas. Dia juga tidak dapat membuat ulang kaji dengan jaya kerana asyik berasa pening dan letih. Tiba minggu peperiksaan, Aliya semakin pulih tetapi kadang-kadang sakit kepala itu datang juga menyerang. Irham sangat risaukan keadaan Aliya itu. Dia menasihati Aliya supaya meminta kebenaran daripada guru kelasnya untuk menangguh waktu peperiksaan namun Aliya tetap berkeras ingin menduduki peperiksaan bersama dengan rakan-rakannnya yang lain. Setelah peperiksaan tamat, maka semua pelajar pun dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing untuk memulakan cuti akhir semester.
               
      Sebelum Irham kembali ke rumahnya di Kedah, dia telah meminta Aliya untuk berjumpa sekejap dengannya. Dikirimnya sepucuk surat buat Aliya. Kata-kata yang diucapkan oleh Irham dalam surat tersebut merupakan kata-kata semangat kerana Irham tidak mahu Aliya terlalu memikirkan tentang peperiksaan yang dilaluinya serta bimbang tentang keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan pada bulan Desember nanti. Irham berjanji dengan Aliya bahawa ketika cuti nanti dia akan berkongsi dengannya tentang apa yang dipelajari. Mungkin dengan cara mereka bertukar-tukar nota dapat membantu mereka belajar dengan lebih baik tentang sesuatu subjek itu.
                                ***
     Keputusan semester telah diumumkan. Irham mendapat keputusan yang baik, seperti yang telah dijangka. Irham sangat gembira, namun dia terfikir juga tentang Aliya. Tetapi sejak cuti bermula, Irham tidak mendengar sebarang khabar daripada Aliya. Surat yang dihantar oleh Irham kepada Aliya juga tidak dibalas. Erma juga tidak mengetahui apa-apa apabila ditanya. Akhirnya, Irham mampu menunggu dan terus menunggu sehingga cuti berakhir.

     Setelah musim cuti berakhir, semangat Irham untuk terus berjaya semakin membuak-buak. Tambahan pula inilah masa yang sangat penting baginya. Semester 4 adalah semester terakhir dan pada akhir semester inilah dia akan menghadapi ujian yang paling besar dalam hidupnya. Ujian yang bakal menentukan sama ada dia layak atau tidak untuk menyambung pengajian di peringat ijazah di luar negara. Nasib dan rezekinya ditentukan pada usahanya selama ini.
                
     Permulaan semester 4 Irham sangat sibuk dengan segala kelas tambahan dan sesi ulangkaji bersama kumpulan belajar yang telah ditentukan oleh para guru. Justeru, Irham tidak dapat meluangkan masanya dengan Aliya. Aliya juga dilihat sibuk dengan urusannya. Tetapi dia tetap berusaha untuk bertegur sapa dan mengulang kaji pelajaran bersama. Namun, sejak belakangan ini Irham jarang sekali terserempak dengan Aliya sama ada di blok akademik atau di perpustakaan tempat di mana mereka selalu mengulang kaji. Aliya seolah-olah hilang terus. Kata Erma, Aliya sakit dan dia tidak dapat hadir ke kelas. Walaupun telah mendapatkan rawatan di hospital, tetapi keadaan kesihatan Aliya hanya baik buat seketika. Keadaan itu membuatkan Irham semakin risau. Peperiksaan IB semakin hampir dan dia mengharapkan Aliya akan sihat serta dapat belajar dengan baik.
                
     Irham teringat akan perbulannya dengan Aliya ketika mereka sama-sama menyertai acara sukan tahunan yang diadakan oleh kolej mereka. Ketika sedang menunggu keputusan acara diumumkan, Aliya dan Irham duduk berbual-bual. Mereka berbincang tentang topik pelajaran dan juga cita-cita masing-masing. Aliya berharap dia akan berjaya untuk peperiksaan IB ini dan dapat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Ireland nanti. Manakala Irham pula ingin menyambung pengajiannya di University of Leeds di United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia. Mereka berjanji untuk terus sama-sama berusaha bagi memastikan cita-cita mereka tercapai dan berjaya membanggakan kedua ibu bapa mereka. Namun dengan situasi yang dihadapi oleh Aliya kini, Irham merasa sangat susah hati kerana dia tidak dapat membantu Aliya sepenuhnya.
     
     Kini, masa yang ditunggu telah tiba. Irham telah mempersiapkan  dirinya dan dia yakin akan dapat membuat yang terbaik bagi peperiksaan ini. Begitu juga dengan rakan seperjuangan yang lain. Dia juga sering memberikan kata motivasi kepada rakan-rakannya agar mereka sentiasa yakin dan percaya kepada keupayaan diri masing-masing serta percaya kepada rezeki tuhan. Irham juga sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Aliya. Walaupun akhir-akhir ini, Irham jarang berkesempatan untuk berborak dengan Aliya.
                
     Setelah tamat pengajian mereka di kolej, maka cuti pun bermula. Irham ingin mengatakan sesuatu kepada Aliya sebelum mereka berpisah. Tetapi kelibat Aliya langsung tidak kelihatan pada hari terakhir persekolahan. Irham hampa kerana Aliya pergi tanpa memberitahu apa-apa kepadanya Sebulan Irham berada dalam keadaan berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaannya. Akhirnya, hari yang ditunggu-tunggu tiba jua. Irham berjaya dengan jayanya. Dia juga dinobatkan sebagai pelajar terbaik kolejnya. Irham cuba merisik khabar mengenai Aliya namun Erma kawan baik Aliya juga tidak mendengar sebarang khabar daripadanya.
                
     Sehinggalah Irham mendapat khabar daripada kawannya bahawa sesuatu telah berlaku kepada Aliya. Aliya sedang sakit tenat dan sekarang dia berada di hospital. Aliya telah disyaki menghidapi kanser otak dan jangka hayatnya hanya tinggal sebulan lagi. Irham yang mendengarkan khabar itu berasa amat terkejut. Terus dia berkejar ke hospital  untuk berjumpa dengan Aliya. Irham banyak menghabiskan masanya menemani Aliya di hospital. Irham ingin membuat Aliya gembira di saat-saat akhirnya. Walaupun sedih dengan penyakit yang dideritai oleh Aliya, namun Irham redha kerana dia tahu Aliya seorang yang kuat dan dia yakin setiap ujian ada hikmatnya.
            
     Suatu hari, hati Irham berasa berat. Jantungnya tiba-tiba berdegup dengan kencang. Irham teringat akan Aliya. Terus dia menelefon ibunya Aliya, Puan Aishah. Namun telefonnya tidak aktif. Irham semakin tidak keruan sehinggalah dia menerima panggilan telefon daripada Erma yang mengkhabarkan bahawa Aliya sudah tiada. Erma hanya mampu menangis sambil memberitahu perkara itu kepada Irham. Irham pula terkedu dan tidak mampu berkata apa-apa. Dunianya dirasakan gelap dan kosong. Baginya hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Air mata pun tidak dapat keluar walaupun dia begitu sedih. Baginya, inilah saat paling sedih dalam kehidupannya selepas dia kehilangan atuk sebelum ini.    
            
    ***

     Irham hanya tersedar daripada lamunannya apabila terasa ada titisan hangat mengenai tangannya. Rupanya dia telah jauh mengelamun. Mengelamun memikirkan tentang masa silam yang sangat memberi kesan dalam kehidupannya. Akhirnya setelah menenangkan diri, Irham bangkit untuk kembali meneruskan rutin hariannya sebagai seorang pelajar. Tanggungjawabnya harus dilaksanakan dengan baik. Dia sudah berjanji dengan Aliya untuk terus berusaha bagi memastikan cita-cita yang ditanam sejak kecil telah tercapai. Irham berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia akan menjadi pelajar dan anak yang bertangungjawab dan akhirnya menjadi insan yang berjaya dewasa kelak


Monday, 16 November 2015

Kesan Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia Terhadap Masyarakat dan Negara

                  PEMERENGGANAN

Kesan Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia Terhadap Masyarakat dan Negara

     Pekerja asing didefinisikan sebagai tenaga kerja dari luar negara atau dikenali juga sebagai buruh asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Kebiasaannya pekerja asing datang ke negara ini adalah untuk memenuhi ruang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan. Selain itu, mereka datang bekerja di sini adalah untuk mencari pendapat yang lebih lumayan berbanding di negara asal mereka. Antara sektor yang menjadi tumpuan pekerja asing ialah sektor pembinaan, perkhidmatan dan perindustrian. Ibarat kata pepatah, di mana ada semut, di situ ada gula. Namun, kedatangan mereka ke sini turut memberi kesan positif dan juga negatif kepada masyarakat dan juga negara.

  
     Antara kesan positif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah mempercepatkan proses pembangunan negara. Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Justeru pelbagai langkah diambil dalam memantapkan pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai perubahan dilakukan secara menyeluruh khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan prasarana yang sitematik. Sebagai contoh, lebuhraya Pan Borneo yang dibina memerlukan tenaga kerja asing bagi mempercepatkan proses pembinaan lebuhraya tersebut. Dengan adanya pekerja asing ini, proses pembangunan negara dapat berlangsung dengan cepat.

     Seterusnya, kesan positif yang kedua ialah berlaku pertukaran teknologi. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan teknologi yang canggih dan moden untuk menjadikan negara ini setanding dengan negara membangun yang lain. Kedatangan pekerja asing contohnya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan pekerja tempatan mempelajari dan memperoleh teknologi baru melalui program yang diadakan secara usahasama oleh pihak kerajaan atau pihak tertentu. Sebagai contoh, pertukaran idea dan maklumat antara para saintis tentang vaksin. Oleh hal yang demikian, pertukaran teknologi ini dapat menjana keemajuan negara.

     Kesan negatif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah meningkatkan kadar jenayah. Hal ini demikian kerana, tidak semua daripada mereka mendapat upah yang mencukupi. Kesempitan hidup di negara orang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Kegiatan jenayah seperti merompak, meragut dan mencuri tidak dapat dinafikan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun kegiatan jenayah ini tidak semestinya berkaitan dengan pendatang asing tetapi disebabkan sejarah lampau mengenai kes-kes jenayah yang melibatkan mereka mengakibatkan masyarakat menuding jari ke arah mereka. Kegiatan jenayah yang semakin serius ini mendatangkan kerisauan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda. Akhir kata, antara salah satu kesan negatif kedatangan pekerja asing ialah mendatangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

     Kesimpulannya, kedatangan pekerja asing memberikan kesan positif dan negatif kepada masyarakat dan negara. Kedatangan mereka ini tidak boleh disekat lagi disebabkan atas faktor-faktor yang tertentu. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang agar keselamatan masyarakat dan keamanan negara kita terjamin daripada sebarang jenayah disebabkan oleh pekerja asing.